Qhazanah Technology bersama KKTP lancar sistem atas talian Qtech memudahcara permohonan infrastruktur telekomunikasi

Qhazanah Technology Sdn. Bhd. (QTSB) dengan kerjasama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah (KKTP) melancarkan Sistem Atas Talian (QTECH Online System) yang bertujuan untuk memudahcara proses permohonan berkaitan infrastruktur telekomunikasi di Negeri Sabah.
Majlis pelancaran semalam disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan (KKTP) Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.
Turut hadir, Setiausaha Tetap KKTP Datuk Dr Jamili Nais, Pengerusi QTSB Pengerusi QTSB Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari dan timbalannya Datuk Maznah Abdul Ghani, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Qhazanah Sabah Berhad Rudy Jaglul dan Ketua Pegawai Eksekutif QTSB Mikail Sungiau Abdullah.
Ini merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha merealisasikan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) dan transformasi digital Negeri Sabah
Awang Ahmad Sah dalam ucapan alu-aluannya berharap semua agensi, syarikat telekomunikasi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan memanfaatkan inisiatif ini sepenuhnya untuk mengoptimumkan tahap penyampaian serta perkhidmatan yang mampu memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi Negeri Sabah.
Katanya, Sistem Atas Talian ini adalah sejajar dengan inisiatif Kerajaan Digital Berteraskan Teknologi dan Inovasi di bawah Hala Tuju SMJ.
“Dengan adanya sistem ini, proses permohonan, kuiri dan kelulusan berkaitan infrastruktur telekomunikasi akan dijalankan secara digital, meningkatkan kecekapan operasi serta mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Semalam, selain acara pelancaran sistem, sesi bengkel juga diadakan pada sebelah petang untuk memberi pendedahan kepada wakil-wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tentang cara penggunaan sistem atas talian ini.
Manakala, hari kedua hari ini diteruskan dengan sesi bengkel bersama syarikat telekomunikasi.
