Lembaga Bandaran Kudat terima RM178,000 dari QTSB

Lembaga Bandaran Kudat telah menerima cek replika berjumlah RM178,000 daripada Qhazanah Technology Sdn. Bhd (QTSB).

Cek berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Qhazanah Technology Sdn. Bhd, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari sebagai bayaran Yuran Permit Tahunan Struktur Telekomunikasi bagi tempoh 2019 sehingga 2022. 

Qhazanah Technology Sdn Bhd merupakan syarikat yang dilantik sebagai One Stop Agency (OSA) oleh kerajaan negeri untuk menyelaras permohonan berkaitan infrastruktur telekomunikasi di Sabah. 

Dalam majlis penyerahan itu, Awang Ahmad menyarankan agar syarikat pemilik infrastruktur telekomunikasi memberi kerjasama untuk mengemukakan setiap permohonan kelulusan permit pembinaan infrastruktur komunikasi baharu dan mengemukakan permohonan pembaharuan permit tahunan melalui OSA untuk tindakan selanjutnya bagi mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 

Selain itu katanya, syarikat pemilik infrastruktur telekomunikasi juga digalakkan menyertai program pemutihan bagi infrastruktur sedia ada yang masih belum berdaftar untuk mengelakkan infrastruktur telekomunikasi mereka dianggap struktur haram.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) QTSB, Mikail S. Abdullah memohon kerjasama dari semua pihak terutama pemilik Infrastruktur Komunikasi menggunakan platform atas talian melalui ‘Qtech Online System’ yang telah dikuatkuasakan pada 15 Julai 2024 untuk memudahkan dan memastikan pengurusan dalam bentuk digital ke atas infrastruktur komunikasi di sabah dapat diurus tadbir dengan lebih baik dan teratur.

Lembaga Bandaran Kudat mengucapkan ribuan terima kasih kepada Qhazanah Technology Sdn. Bhd. atas usaha mereka dan berharap kerjasama yang baik ini akan memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat dalam pemantauan dan pengurusan infrastruktur telekomunikasi di Sabah.

Hadir sama Pegawai Eksekutif Lembaga Bandaran Kudat, Harun Arifin serta tetamu kehormat yang lain.

Sumber: https://www.utusanborneo.com.my/2025/05/23/lembaga-bandaran-kudat-terima-rm178000-dari-qtsb

Other News